Anda Pasti Menyesal Kerana Tidak Tahu CPR

Kelas CPR di GoFitEith.Me

Bantuan CPR diperlukan pada kejadian awal kecemasan dimana mangsa menghadapi serangan jantung atau kesukaran untuk bernafas atau nadinya semakin lemah. Jika anda berada dalam situasi dimana terdapat mangsa yang mempunyai simptom yang demikian, dan anda tidak tahu CPR, anda pasti menyesal.

 

Ini kerana bantuan awal CPR ini merupakan tindakan yang terpantas yang anda dapat lakukan sewaktu menunggu bantuan perubatan yang sebenarnya. Bahkan ianya dapat mengurangkan resiko kehilangan nyawa sebelum dengan memastikan mangsa dapat bernafas dengan normal atau bertambah baik dari ketika kejadian.

 

Baru-baru ini pada 21 October kami dapat menjalankan program asas atau pengenalan mengenai CPR di GoFitWith.Me. Latihan asas ini dikelolakan oleh En Zainal Othman & En Alif. Kami sangat beruntung kerana mereka berdua berpengalaman dengan aktiviti mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap atau hilang sewaktu mendaki gunung atau meneroka hutan (Jungle Trekking). En Alif pula adalah seorang kakitangan di hospital UKM dan aktif di Kelab Kembara 7 Benua yang baru-baru ini berjaya menawan Kutub Utara.

 

Pelbagai tips yang amat berguna telah dikongsikan oleh En Zainal & En Alif untuk memberi bantuan kecemasan menggunakan kaedah CPR ini.

 

En Zainal memberi taklimat mengenai CPR
En Zainal memberi taklimat mengenai CPR

 

Menurut mereka, kesedaran atau pengetahuan mengenai CPR di Malaysia amat kurang jika dibandingkan di negara Jepun. Kanak-kanak di Jepun sudah diperkenalkan dengan pengetahuan ini semenjak mereka kecil agar dapat bertindak pantas jika menghadapi situasi kecemasan.

 

Apa it CPR?

CPR adalah singkatan dari “Cardio Pulmonary Resuscitation”  yang bertujuan untuk memberikan bantuan kepada jantung mangsa untuk kembali berfungsi dan akan mengepam darah ke seluruh badan semula. Secara asasnya dilakukan dengan menekan bahagian dada mangsa berkali.

 

Pemahaman ini penting kerana ramai yang beranggapan bahawa CPR itu adalah bantuan pernafasan mulut ke mulut. Ramai yang tidak melakukan CPR kerana”jijik” disebabkan pemahaman mereka CPR adalah bantuan pernafasan mulut ke mulut.

 

Menurut En Zainal, tindakan utama sewaktu kecemasan adalah melakukan tekanan di dada berkali-kali. “Banyak kematian berlaku kerana kelewatan untuk melakukan CPR”, tambah beliau.

 

Pentingnya CPR

Kejadian serangan jantung adalah disebabkan oleh degupan jantung yang tidak betul (“irregular heartbeat – arrhythmia”) dan kesannya aliran darah ke organ penting seperti otak, paru-paru dan anggota lain terganggu.

 

Menurut statistik, terdapat 350,000 kejadian serangan jantung berlaku diluar hospital dan nyawa mangsa bergantung kepada bantuan awal CPR dari orang yang berada ditempat kejadian. Menurut American Heart Association, 90 peratus mangsa yang mendapat serangan jantung di luar hospital tidak sempat diselamatkan & meninggal dunia. Bantuan CPR dapat memberikan mangsa sehingga 2 atau 3 kali ganda kebarangkalian untuk diselamatkan.

 

Cara melakukan CPR

Ketika kecemasan, terus hubungi talian kecemasan 999 dan sambil menunggu bantuan tiba, berikut adalah langkah awal membantu mangsa yang nadinya sangat lemah atau tiada degupan jantung.

 

demo kaedah cpr
demo kaedah cpr

 

  1. Baringkan mangsa di depan anda dan anda melutut menghadap mangsa dengan kedudukan muka dan dada anda berada di sebelah sisi mangsa bertentangan 90 darjah dengan dada mangsa.
  2. Letakkan tapak tangan anda di tengah dada mangsa. Sebagai panduan mudah diantara dua puting (nipple) mangsa.
  3. Genggam tangan anda tadi dari atas dengan tangan yang satu lagi dengan erat.
  4. Dengan kedudukan tangan menegak (masih dalam kedudukan melutut, anda perlu bangkit sedikit) anda perlu mengepam tangan ada ke dada mangsa sebanyak 30 kali.
  5. Tolakan tangan anda haruslah kerap & konsisten. Manakala kekuatannya dari kedua bahu anda dan bukan dari tangan anda yang dibengkokkan di siku.
  6. Selepas 30 kali pam, periksa nadi mangsa atau perhatikan gerakan dada mangsa atau dekatkan telinga anda ke hidung mangsa untuk memastikan keadaan mangsa.
  7. Ulang proses mengepam dan memeriksa sebanyak 5-6 kali.

 

Masih tidak jelas, sila ambil masa 90 minit sahaja untuk belajar CPR di pautan ini.

 

Info Grafik

Sila gunakan info graphic ini dan sebarkan kepada rakan-rakan anda untuk membantu memberi kesedaran mengenai kepentingan CPR

 

Info Grafik BELAJAR CPR
Info Grafik BELAJAR CPR

 

Rumusan

70 peratus serangan jantung di luar hospital berlaku di rumah. Maka jadilah anggota keluarga yang bersedia untuk membantu keluarga & komuniti di sekitar anda.

 

Jadilah warga yang memberi NILAI! Boleh atau boleh??

 

Disediakan oleh:

Assakhof Ab Satar